Penyerang muda Malaysia, Qaseh Rania mengetuai senarai 27 pemain yang dipanggil menyertai kem Malayan Tigress B-19.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 27 pemain pasukan tersebut hari ini.
Panggilan kem terbaru ini bertujuan untuk mempersiapkan mereka menghadapi Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 yang berlangsung pada Jun ini.
Selain Qaseh, dua pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Kanchenjeet Kaur dan Lauren Hoh Ruyi turut dipanggil jurulatih pasukan itu, Cameron Ng.
Selain mereka, tiga lagi tonggak skuad senior Malayan Tigress turut dipanggil. Mereka ialah Dian Aqilah Mohammed Imran, Nur Laila Syamila dan Rocillyeka Lole.
Kanchenjeet, Nur Dhiyaa Addin dan S. Thivashini bakal menyertai kem selepas tamat tugasan Malayan Tigress di Bhutan. Ini kerana anak buah Joel Cornelli mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa di sana.
Malayan Tigress B-19 berada dalam Kumpulan B bersama Thailand, Indonesia dan Kemboja. Mereka akan membuka kempen menentang Kemboja pada 9 Jun.
Setelah itu, skuad negara akan menentang Thailand pada 11 Jun dan Indonesia (13 Jun). Aksi separuh akhir akan diadakan pada 16 Jun.
Aksi final dan penentuan tempat ketiga pula akan diadakan pada 18 Jun.