Arab Saudi dan Qatar menjadi dua wakil terbaru Asia yang mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2026.
Ini selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan kedua dalam kumpulan masing-masing. Arab Saudi layak meskipun diikat tanpa jaringan dengan Iraq.
Qatar turut mara dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1. Meskipun beraksi dengan 10 pemain, anak buah Julen Lopetegui mengekalkan keputusan itu sehingga wisel penamat.
Keputusan ini menyaksikan Arab Saudi dan Qatar mengiringi Jepun, Iran, Korea Selatan, Jordan, Uzbekistan dan Australia ke Piala Dunia 2026.
Penyerang Arab Saudi, Firas Al-Buraikan melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana dapat membantu pasukan itu layak ke kejohanan berprestij itu.
“Kita layak ke Piala Dunia. Alhamdulillah. Kepada semua peminat yang hadir memberi sokongan, anda berhak menerima kegembiraan ini.
“Alhamdulillah sekali lagi dan akan ada keputusan lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya selepas perlawanan.
Dua pasukan Asia Barat, Iraq dan UAE masih berpeluang mengiringi lapan pasukan Asia itu ke Piala Dunia. Kedua-dua pasukan ini akan berentap untuk penentuan wakil Asia ke aksi play-off pada 13 dan 18 November.
Pemenang aksi ini akan bertemu dengan empat lagi pasukan dari Amerika Utara/Tengah, Amerika Selatan, Afrika dan Oceania untuk pusingan play-off di Mexico pada Mac 2026.