Kelab Richard Chin, Raith Rovers meraikan penampilan pertama pemain berusia 22 tahun itu bersama skuad kebangsaan Malaysia.
Sebelum ini, Richard memaklumkan beliau sudah menyimpan impian mewakili Harimau Malaya selama lima tahun.
“Harapan saya dalam lima tahun terakhir ialah bermain untuk skuad kebangsaan dan mewakili Malaysia. Harapnya, saya dapat mula lakukannya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Kini, impian tersebut menjadi kenyataan apabila Richard masuk sebagai pemain gantian dalam aksi menentang Palestin.
Richard dan pemain pertahanan Sabah FC, Daniel Ting masuk pada minit ke-80 menggantikan Quentin Cheng dan Gabriel Palmero.
Kemasukan mereka dan Romel Morales dalam 10 minit terakhir membantu Harimau Malaya meraih kemenangan pertama ke atas Singa Kanaan sejak tahun 2001.
Sebaik Richard membuat penampilan pertamanya di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), akaun rasmi The Rovers mengucapkan tahniah kepada bekas pemain remaja Charlton Athletic itu.
“Satu lagi kemenangan untuk Malaysia dan Richard membuat penampilan pertama (di peringkat antarabangsa). Satu detik yang hebat, tahniah Chinny,” katanya di X.
Pencapaian ini dijangka menyemarakkan semangatnya bersama Raith Rovers. Sejak menyertai kelab itu pada Julai lalu, Richard sudah merekodkan tujuh penampilan untuk The Rovers.