Pengendali Thailand, Rakhpol Sainetngam bakal mengucapkan selamat tinggal kepada skuad futsal Malaysia.
Ini kerana bekas jurulatih Chonburi Bluewave itu dilaporkan akan kembali ke Thailand. Khabar ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Difahamkan Malaysia bakal harungi cabaran Futsal Piala Asia 2026 tanpa khidmat ketua jurulatih, Rakphol Sainetngam yang ambil keputusan untuk kembali ke pangkuan negara kelahirannya, Thailand,” katanya di X.
Ini sekaligus mengesahkan khabar angin bahawa sentuhannya diintai Thailand sebagai pengganti Miguel Rodrigo. Rodrigo bersara selepas tamat kempen Sukan SEA 2025.
Ini bermakna Malaysia akan menghadapi saingan Piala Asia Futsal 2026 di Indonesia bersama jurulatih baharu.
Selepas dilantik sebagai jurulatih pada 2023, Rakhpol membantu skuad futsal Malaysia melakar pelbagai pencapaian.
Antaranya ialah layak ke saingan Piala Asia Futsal 2026 dan pingat gangsa Sukan SEA 2025.
Sentuhan Rakhpol turut membantu skuad futsal Malaysia B-19 meraih tempat ketiga ASEAN Futsal Cup B-19 baru-baru ini.
Meskipun skuad yang dibawa masih hijau dari segi pengalaman, mereka memberi cabaran hebat sepanjang kejohanan. Ini termasuk mengecewakan Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga.