Penyerang Brunei DPMM FC, Ramadhan Sananta memuji kualiti yang dimiliki saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pandangan itu dibuat beliau selepas mengharungi dua aksi Liga Super musim 2025/26 bersama DPMM. Ini termasuk aksi menentang juara MFL Challenge Cup musim lalu, Selangor FC.
Ramadhan melihat Liga M bukan saja memiliki ramai pemain yang berkualiti. Malah, intensiti permainan yang tinggi memberi cabaran kepada semua pasukan yang bertanding.
“Liga Malaysia memiliki kualiti yang bagus terutama semua pemain berkualiti yang bagus. Liga memiliki teknik yang bagus dan intensiti yang tinggi.
“Dan itulah sebab Liga Malaysia memiliki kualiti yang bagus,” katanya kepada MakanBola selepas perlawanan menentang The Red Giants.
Aksi tersebut menyaksikan DPMM kecundang 3-0 kepada Selangor di Stadium MBPJ. Kevin Deeromram dan Chrigor Moraes mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.
DPMM kini mengalihkan fokus kepada aksi pusingan 16 terbaik Piala FA. Mereka akan menentang satu lagi wakil Borneo, Kuching City FC untuk aksi pertama pada 16 Ogos ini.