Ramalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus tentang bilangan tiket aksi antara pasukan itu dan Selangor FC jadi kenyataan.
Sebelum ini, Faliq menjangkakan lebih 10,000 keping tiket terjual untuk aksi tersebut di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR). Ini selepas 1,832 tiket terjual pada 20 Ogos lalu.
“Dengan melihat trend semasa, (kehadiran di STAR) minimum 10,000. (Sambutan penyokong amat) positif,” katanya di X.
Kini, kemas kini jualan tiket terbaru Negeri Sembilan menyaksikan 11,869 tiket sudah terjual pada 22 Ogos lalu. Ini termasuk tiket kategori Astaka yang sudah habis terjual yang disahkan oleh Faliq.
“(Tiket bahagian) Astaka sudah habis dijual,” katanya. Penyokong yang belum mendapatkan tiket boleh mendapatkan tiket kategori Terbuka dengan harga RM20.00 (dewasa) dan RM10.00 (kanak-kanak dan remaja 7-17 tahun).
Penyokong boleh mendapatkan tiket secara fizikal di kaunter astaka Stadium Tuanku Abdul Rahman bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.
Sekiranya trend ini berterusan sehingga ke hari perlawanan, tidak mustahil rekod kehadiran 4,506 orang di STAR untuk aksi pertama pusingan 16 Piala FA dapat diatasi.
Negeri Sembilan bakal menentang Selangor di STAR pada 24 Ogos ini.