Ramalan awal bekas tonggak kebangsaan, Yusri Che Lah mengenai senario Malaysia di Piala Mandiri ASEAN B-23 ketika ini dilihat menjadi kenyataan.
Skuad muda Malaysia ketika ini berdepan misi wajib menang ke atas Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan A bagi memastikan slot ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23.
Senario wajib menang ini berlaku setelah pasukan bimbingan Nafuzi Zain ini mencatat kemenangan besar ke atas Brunei namun tumpas di tangan Filipina dalam perlawanan pertama lalu.
Menerusi temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi pada 7 Julai lalu, Yusri menganggap pasukan tuan rumah, Indonesia sebagai ancaman hebat untuk skuad muda negara.
Malah, beliau turut meramal aksi terakhir antara Indonesia vs Malaysia ini bakal menjadi detik penentuan buat kedua-dua negara bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir nanti.
“Saya rasa Indonesia adalah saingan terbesar kita dalam mana-mana kejohanan.”
“Dalam kejohanan ini, diletakkan dalam satu kumpulan, saya melihat aksi terakhir (Indonesia vs Malaysia) sebagai penentuan juara dan naib juara kumpulan,” jangka Yusri Che Lah pada 7 Julai lalu.
“Mental (pemain) harus kuat. Macam mana nak terima tekanan sebelum, semasa dan selepas pertandingan,” pesan bekas jurulatih Perak ini kepada para pemain muda negara.
Malaysia B-23 masih memiliki peluang bagi mara ke separuh akhir jika berjaya menumpaskan Indonesia dengan kelebihan dua jaringan tatkala pasukan tuan rumah hanya memerlukan satu mata.
Sekiranya skuad muda Malaysia berjaya meraih kemenangan dengan kelebihan 3 gol, tiket ke separuh akhir sebagai juara kumpulan sudah pasti berada dalam genggaman anak didik Nafuzi Zain.
Aksi Indonesia vs Malaysia B-23 bakal bermula tepat jam 9 malam ini bertempat di Stadium Gelora Bung Karno tatkala satu lagi perlawanan antara Filipina vs Brunei diadakan di Stadium Patriot, Bekasi.