Ranking FIFA: Malaysia & 5 Negara ASEAN Catat Kenaikan
MakanBola
Malaysia NT

Kemas kini terbaru ranking FIFA menyaksikan enam negara ASEAN termasuk Malaysia mencatat peningkatan.

Harimau Malaya terus memperbaiki kedudukan ke tangga ke-116 dunia. Perubahan ini berlaku selepas Malaysia menewaskan Nepal 1-0 pada 18 November lalu.

Kemenangan itu melonjakkan Harimau Malaya dua anak tangga dari kedudukan sebelumnya iaitu ke-118. Malaysia kini di hadapan Gambia, Sudan, Namibia dan Korea Utara.

Pesaing Harimau Malaya dalam Kumpulan F, Vietnam turut memperbaiki kedudukan ke tangga ke-110. Pahlawan Bintang Emas terus mendaki ranking selepas menewaskan Laos 2-0.

Meskipun tewas di tangan Vietnam, Laos turut memperbaiki ranking dari tangga ke-188 kepada 187 dunia.

Filipina dan Singapura masing-masing merekodkan perubahan ranking paling tinggi iaitu lima dan empat anak tangga. Ini selepas kedua-dua pasukan mengalahkan lawan masing-masing.

Filipina segar daripada kejayaan menewaskan Maldives 2-0. Singapura pula bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Hong Kong 2-1.

Kejayaan itu turut menyaksikan The Lions layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu. Pemain Singapura juga bakal menerima durian runtuh berjumlah S$2 juta (RM6.3 juta).