Ranking FIFA: Malaysia Lonjak 5 Anak Tangga
MakanBola
Malaysia NT

Kemas kini ranking FIFA terbaharu menyaksikan kedudukan Malaysia terus melonjak tinggi.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski mengharungi aksi dengan cemerlang sepanjang tahun 2025 ini selepas merekodkan 6 kemenangan dan sekali seri dalam 7 perlawanan.

Rekod kebal ini termasuklah ketika skuad kebangsaan meraih kemenangan dua kali ke atas Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 tempoh hari yang memberi mata ranking cukup lumayan.

Kemenangan mengatasi Laos di Vientiane dan Bukit Jalil itu memberikan tambahan +13.3 mata ranking kepada Malaysia untuk melonjak sebanyak 5 anak tangga dari kedudukan ke-123 dunia.

Lonjakan ini menyaksikan Malaysia kini mengumpul 1161.53 mata di tangga ke-118 selain turut memintas 4 buah negara iaitu Indonesia, Sierra Leone, Korea Utara dan juga Sudan.

Malaysia kini turut bergelar pasukan ke-3 terbaik ASEAN di belakang Thailand yang menghuni kedudukan ke-96 dunia sementara Vietnam di tangga ke-111 berdasarkan kemas kini terbaharu.