Malaysia mencatatkan kenaikan ranking FIFA sebanyak dua anak tangga bagi menghampiri kelompok 120 terbaik dunia.
Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski mengharungi beberapa perlawanan dengan cemerlang dalam Kelayakan Piala Asia 2026 dan aksi persahabatan pada September.
Aksi menentang Singapura dan Palestin baru-baru ini telah menghadiahkan bukan sahaja keputusan yang positif, akan tetapi tambahan mata ranking yang begitu lumayan kepada Malaysia.
Tambahan +9.75 mata ranking FIFA berjaya untuk dipungut oleh pasukan kebangsaan selepas cemerlang menewaskan Singapura 2-1 di Bukit Jalil dan Palestin 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kedudukan terbaru menyaksikan Harimau Malaya melonjak dua anak tangga (123 dunia) berbanding ke-125 dunia jika berdasarkan kemas kini ranking FIFA yang dikeluarkan pada Khamis.
Lonjakan ini menyaksikan skuad negara ketika ini mengumpul 1148.23 mata untuk berada di tangga ke-123 dunia dan terus menghampiri kelompok 120 dunia yang hanya berbeza 2.85 mata.
Malaysia masih kekal sebagai negara ke-4 terbaik di Asia Tenggara, di belakang Thailand (101 dunia), Vietnam (114 dunia) dan Indonesia (119 dunia).
Ujian seterusnya menanti skuad Harimau Malaya adalah Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2026 pada bulan Oktober ini.