Ranking Masa-Nyata FIFA: Malaysia Hampiri Kedudukan Indonesia
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia mengutip tambahan mata ranking FIFA maksimum pada jendela antarabangsa bulan September dan sekaligus menghampiri kedudukan Indonesia ketika ini.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski beraksi cukup cemerlang di Stadium Sultan Ibrahim apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas negara di ranking ke-97 dunia iaitu Palestin.

Gol seawal minit ke-3 permainan oleh penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo sudah cukup memberikan satu kemenangan bermakna kepada pasukan negara di Iskandar Puteri.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengutip tambahan +5.89 mata FIFA dan mengumpul keseluruhan 1,148.23 mata bahkan melonjak naik ke tangga 120 secara masa-nyata buat masa ini.

Malaysia kini selangkah untuk menghampiri beberapa negara yang berada tidak jauh di hadapan seperti Korea Utara (119), The Gambia (118) dan jiran tetangga, Indonesia yang berada di tangga ke-117.

Sang Garuda ini baru sahaja mencatatkan kemenangan 6-0 mengatasi Chinese Taipei minggu lalu dan terikat seri tanpa gol ketika turun menentang Lubnan di Surabaya pada Isnin.

Secara keseluruhan, skuad Harimau Malaya berjaya meraih mata ranking FIFA maksimum dalam dua aksi pada jendela antarabangsa di bulan September ini.