Razman Roslan Dedah Punca Selangor Sering Bolos Pada Babak Kedua
MakanBola
Selangor FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan percaya faktor kecergasan dan keghairahan memburu gol menyebabkan Selangor FC kerap dibolosi pada separuh masa kedua.

Hal ini dinyatakan beliau apabila menilai statistik gawang Selangor yang dibolosi pihak lawan dalam empat aksi awal musim 2025/26.

Statistik menunjukkan daripada lapan jaringan yang menembusi gawang Merah Kuning, tujuh daripadanya berlaku pada babak kedua perlawanan.

Ini termasuk dua gol pemain Jepun, Mio Tsuneyama yang membantu Negeri Sembilan FC menewaskan Selangor pada 24 Ogos lalu.

Razman percaya faktor keghairahan memburu gol tambahan dan kecergasan kerap menghampakan usaha Selangor mendapatkan keputusan positif.

“Mungkin mereka boleh mendapatkan satu mata tetapi bila ghairah mencari gol kemenangan, mereka dibolosi.

“Dan mungkin faktor kedua, kepenatan atau kecergasan. Mereka tidak boleh mengakhiri minit (permainan), minit ke-75 hingga ke-90 mereka sudah kepenatan.

“Apabila mereka kepenatan, mereka akan hilang tumpuan, mengharap pemain lain dan masing-masing tidak menjalankan tugas mereka dengan apa yang berlaku,” katanya semasa menjadi panel XI Sebelas Utama.

Selangor berharap dapat bangkit apabila menentang pasukan Pantai Timur, Terengganu FC pada 27 Ogos ini.