Razman Roslan Resah Dengan Kualiti Penyudah Malaysia B-23
MakanBola
FA Malaysia

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan mengakui resah dengan kualiti penyudah yang dipamerkan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) baru-baru ini.

Skuad negara yang dibimbing Nafuzi Zain membuka kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 dengan langkah kiri.

Ini selepas Malaysia tewas mengejut 2-0 di tangan Filipina. Meskipun merekodkan 21 percubaan, hanya lima percubaan tepat yang dihasilkan jentera serangan skuad negara.

Razman berharap situasi ini segera diperbaiki jika Malaysia mahu mengulangi pencapaian empat pasukan terbaik yang diraih dalam edisi 2023.

“Kita kecewa dengan keputusan hari ini. Betul, ada ketika kita mengawal permainan dan membuat percubaan seperti yang dikatakan Coach Lim (Chan Yew) iaitu 21 percubaan.

“Tapi kita kena sedar dalam 21 percubaan, hanya lima saja yang menepati sasaran. Bagi saya, itu satu statistik yang sangat jauh.

“Sepatutnya dalam 21 percubaan, 15 menepati sasaran dan lima itu sepatutnya jaringan. Saya rasa itu yang sepatutnya sesuai dengan statistik itu,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia berada di tempat ketiga Kumpulan A tanpa sebarang mata. Selepas ini, Malaysia akan menentang Brunei pada 18 Julai.