Bekas pertahanan kental skuad kebangsaan, Razman Roslan tidak terkejut melihat kualiti skuad Terengganu pada musim ini.
Terengganu dilihat sangat berbeza dari musim lepas selepas mempamerkan aksi yang memukau ketika perlawanan menentang pasukan dari Brunei, DPMM.
Walaubagaimanapun, skuad tersebut terpaksa tunduk kepada pendatang baharu dalam Liga Super, Imigresen dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA musim ini.
Menurut Razman Roslan, skuad tersebut dilihat ampuh kerana sudah bersama sejak beberapa musim di Liga Malaysia.
“Untuk saya pasukan Terengganu telah bersama untuk 2-3 musim kebelakangan ini. Inilah skuad yang selalu dimainkan.”
Tambah beliau, Razman Roslan tak terkejut dengan kualiti yang dipamerkan oleh skuad tersebut.
“Saya sendiri tak terkejut inilah kualiti skuad ini ketika bermain di Shopee Cup dan Asia sebelum ini. Kita tak terkejut jadi saya berharap mereka konsisten dalam sepanjang musim ini,” kata Razman Roslan ketika ulasan selepas perlawanan di Astro Arena.
Terengganu bakal meneruskan aksi Liga Super dengan menentang skuad The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 27 Ogos.