Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan percaya tindakan Terengganu tidak bermain secara agresif menyumbang kepada kekalahan pasukan itu baru-baru ini.
Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta menilai kedudukan pertahanan Peteh ketika aksi mereka menentang Sabah FC.
Razman merasakan kegagalan Terengganu menutup ruang dengan pantas dan membenarkan pihak lawan membuat hantaran mengakibatkan pasukan itu mudah dibolosi.
Kelemahan itu pantas dieksploitasi jentera serangan Sabah sehingga membolehkan mereka meraih kemenangan 3-1 di Kuala Terengganu.
“Bagi saya, ianya sesuatu yang merugikan kerana apa yang dilakukan oleh pemain-pemain
pertahanan pasukan Terengganu adalah mereka terlalu tidak agresif.
“Membenarkan pemain-pemain pasukan Sabah melakukan hantaran (ke dalam kotak penalti mereka),” katanya semasa menjadi panel XI Sebelas Utama.
Kekalahan tersebut juga merupakan aksi terakhir Terengganu di bawah bimbingan Badrul Afzan Razali. Tidak lama selepas itu, pengurusan Peteh memilih merehatkan beliau.
Susulan itu, Terengganu melantik bekas pemain tengah kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan sebagai jurulatih interim sehingga jurulatih baharu dilantik.