Kelab gergasi LaLiga, Real Madrid dilihat antara pakar dalam mendapatkan pemain secara percuma.
Ini terbukti setiap musim di mana pasukan itu berupaya mendapatkan pemain berkualiti menerusi perjanjian pra-perpindahan, enam bulan sebelum kontrak mereka tamat.
Tiga pemain yang tiba dengan cara ini ialah David Alaba, Antonio Rudiger dan Kylian Mbappe. Alaba, Rudiger dan Mbappe masing-masing tiba di Bernabeu selepas tamat kontrak dengan kelab mereka.
Alaba memilih tidak memperbaharui kontrak bersama Bayern Munich pada Julai 2021. Ini disusuli Rudiger yang meninggalkan Chelsea setahun selepas itu.
Mbappe mengesahkan spekulasi yang mengaitkan beliau dengan Real Madrid menerusi keputusan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada 2024.
Trent Alexander-Arnold pada awalnya turut berada dalam senarai perpindahan percuma Los Blancos. Walau bagaimanapun, pengurusan Real Madrid kemudiannya membayar €10 juta (RM48 juta) kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmatnya.
Ini membolehkan Alexander-Arnold dapat menyertai skuad Los Blancos yang dibimbing Xabi Alonso lebih awal untuk Piala Dunia Kelab 2025.
Kini, satu lagi nama dicanang bakal menyertai Real Madrid sebagai ejen bebas iaitu Dayot Upamecano. Upamecano ketika ini memiliki baki kontrak setahun dengan Bayern Munich.
Meskipun begitu, Los Blancos bakal berdepan saingan untuk mendapatkan bek tengah Perancis itu. Ini kerana mengikut laporan Liverpool Echo, Manchester United, Liverpool, Chelsea, Manchester City dan Inter Milan juga berminat mendapatkan Upamecano.