Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid memilih merealisasikan impian seorang remaja Maghribi bernama Abderrahim Ouhida.
Ouhida merupakan mangsa tragedi gempa bumi yang melanda negara itu pada 2023. Bencana alam itu mengakibatkan dia kehilangan ibu bapa, dua saudara perempuan dan datuknya.
Klip video Ouhida berkongsi nasibnya di televisyen menjadi bualan ramai orang pada ketika itu. Apa yang menarik ialah dia memakai baju Los Blancos ketika ditemu bual.
Lantas, pengurusan Real Madrid meraikan Ouhida sebelum aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) antara kelab itu dan Olympique Marseille.
“Pada Selasa lalu, dia menonton aksi Liga Juara-Juara menentang Olympique Marseille secara langsung dan kemudiannya bertemu dan bergambar dengan para pemain idolanya.
“Dia juga berpeluang melawat Bernabeu dan Real Madrid City. Semua hari yang tidak dilupakan ini kemudiannya diakhiri dengan detik yang paling mengujakan: sepak mula untuk aksi menentang Espanyol,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Tindakan Real Madrid mendapat pujian ramai peminat bola sepak. Seorang peminat Barcelona bernama Big Black menyatakan rasa hormat kepada Los Blancos kerana meraikan Ouhida.
“Peminat Barca tetapi saya menunjukkan rasa hormat kepada anda kerana ini. Terima kasih,” katanya di X.
Seorang lagi penyokong bernama Sheriff menyifatkan tindakan tersebut menunjukkan Real Madrid bukan sebuah kelab tetapi sebuah institusi terhormat. “Terima kasih Madrid, lebih daripada kelab,” katanya.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan Ouhida turut direkrut Los Blancos untuk menyertai skuad akademi mereka.