Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan pencapaian cemerlang pada aksi pra-musim di Sepanyol.
Skuad kendalian Xisco Munoz kembali ke Sepanyol buat tahun kedua berturut-turut untuk aksi pra-musim.
JDT yang juga juara bertahan Liga Super Malaysia buat tahun kesebelas berturut-turut mengharungi permulaan cemerlang selepas merekodkan kemenangan ke atas Real Murcia 4-0 dan juga Costa City dengan jaringan tunggal 1-0.
Skuad Harimau Selatan memberikan saingan sengit kepada pasukan ternama England, Cardiff City selepas jaringan penyamaan minit akhir oleh Oscar Arribas memastikan keputusan perlawanan berakhir seri 2-2.
Pasukan gergasi La Liga, Levante UD menjadi cabaran terhebat oleh pasukan milik DYAM Tunku Ismail dengan perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.
JDT turut memberikan saingan sengit kepada Valencia Mestalla dan juga Al-Rayyan bagi aksi kelima dan keenam di Sepanyol namun terpaksa akur tunduk dengan jaringan 1-0 menentang kedua-dua pasukan.
JDT bagaimanapun menutup tirai aksi di Sepanyol apabila merekodkan kemenangan 1-0 ke atas jaguh Timur Tengah, Al-Riyadh di Stadium Olimpik Camilo Cano.
Penyerang warisan negara, Joao Figueiredo muncul wira menerusi jaringan tunggal pada minit ke-10 perlawanan.
Ujian sebenar JDT musim ini adalah pada aksi AFC Champions League Elite (ACLE) dan juga ACC Shopee Cup bermula Ogos ini.