Pemain muda Malaysia, Richard Chin berazam membantu Raith Rovers layak ke saingan Scottish Premiership.
Hasrat itu dizahirkan pemain berusia 22 tahun itu apabila ditanya sasarannya bersama The Rovers musim ini.
Richard melihat sasaran layak ke liga utama Scotland itu mampu dicapai barisan anak buah Barry Robson.
“Pada tahun lepas, saya rasa amat penting untuk bermain dan dari situ, saya dapat banyak minit permainan. Saya rasa dalam kedudukan baik tahun ini untuk tampil cemerlang sekali lagi.
“Sudah pasti, pasukan paling penting. Jadi, (sasaran) untuk pasukan, (sasaran) yang saya fikirkan ialah mendapatkan kenaikan pangkat ke (Scottish Premiership).
“(Sasaran) individu pula ialah menjaringkan gol dan mendapatkan beberapa bantuan gol. Saya ada letakkan sasaran dalam kepala saya di mana saya tahu saya boleh lakukannya,” katanya kepada The Courier.
Richard sudah merekodkan lima penampilan bersama The Rovers sejak menyertai kelab itu pada Julai lalu. Ini termasuk aksi liga terbaru antara Raith Rovers dan Ayr United pada 9 Ogos lalu.
The Rovers berjaya meraih kemenangan 1-0 menerusi gol awal Dylan Easton. Keputusan itu menyaksikan Raith Rovers kini menduduki tangga keempat liga selepas dua perlawanan.