Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin bakal menerima jurulatih baharu di kelabnya, Raith Rovers.
Ini selepas pengurusan The Rovers memecat legenda Dundee United, Barry Robson. Keputusan tersebut diumumkan kelab itu di laman sesawang rasmi mereka.
“Hari ini, Kelab Bola Sepak Raith Rovers mengumumkan Barry Robson telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai pengurus.
“Selain itu, penolong pengurus, Andy Kirk juga akan meninggalkan kedudukannya dengan serta-merta.
“Ucapan terima kasih buat kedua-duanya atas usaha dan masa mereka sepanjang tempoh bersama kami,” kata kelab dalam satu kenyataan.
The Rovers mengambil langkah tersebut selepas kelab itu tewas empat daripada enam perlawanan terakhir mereka.
Keputusan ini menyaksikan Raith Rovers ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Scottish Championship, St. Johnstone. Kelab itu mengumpul 18 mata di tempat keenam liga.
Pemain berpengalaman, Paul Hanlon bakal menggalas tugas sebagai pemain-jurulatih interim. Beliau akan dibantu pengarah teknikal, John Potter dan jurulatih skuad utama, Mark McKenna.
Richard ketika ini fokus menjalani pemulihan akibat kecederaan lutut. Kecederaan tersebut memaksa beliau berehat selama tiga bulan.