Pemain bek sayap Harimau Malaya, Richard Chin ceria membantu pasukannya, Raith Rovers kembali meraih kemenangan dalam saingan Scottish Championship.
Sebelum ini, The Rovers gagal meraih kemenangan dalam dua aksi sebelumnya. Selepas tewas 2-0 di tangan St. Johnstone pada 13 September, pasukan itu diikat tanpa jaringan dengan Airdrieonians pada 20 September.
Justeru, tidak hairanlah anak buah Barry Robson bertekad untuk mengakhiri penantian kemenangan mereka di Stark’s Park bila menentang Arbroath.
Aksi kali ini menyaksikan Richard diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini.
Selepas diikat tanpa jaringan oleh pelawat pada separuh masa pertama, The Rovers tampil lebih garang pada babak kedua.
Bek tengah, Paul Hanlon membuka tirai jaringan buat The Rovers dua minit selepas babak kedua bersambung. Richard menyumbat gol kedua tuan rumah pada minit ke-65.
Jack Hamilton melengkapkan hari cemerlang Raith Rovers dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-88. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan The Rovers terus menghambat St. Johnstone di tempat kedua dengan 14 mata. Selepas ini, mereka akan menentang Ross County pada 4 Oktober ini.