Pengendali KL City FC, Risto Vidakovic membidas sesetengah kelab Liga Malaysia (Liga M) yang dilihat culas membayar gaji pemain.
Beliau menyuarakan pandangan itu apabila diminta mengulas kerenah sesetengah kelab yang gagal melunaskan gaji pemain.
Vidakovic menyifatkan situasi itu tidak patut berlaku pada sesebuah kelab profesional. Ini kerana pada hematnya, isu tersebut bakal memberi kesan kepada pemain terutama di atas padang.
Bekas jurulatih Lion City Sailors (LCS) itu percaya sekiranya situasi itu berterusan, pemain akan hilang motivasi. Ini sekaligus menjejaskan usaha kelab bersaing dalam liga.
“Saya hanya buktikan jika anda mempunyai kelab dan tidak membayar gaji pemain, tiada apa yang boleh dilakukan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Anda tahu, kami profesional dan ini kehidupan kami. Kami dan keluarga kami hidup dengan bola sepak. Jika anda mempunyai kelab dan tidak membayar gaji pemain, itu tidak masuk akal.
“Jadi, anda kena tutup kelab dan tidak bermain. Jika anda bersaing dalam liga, anda kena bayar gaji pemain. Itu yang dipanggil bola sepak profesional.”
Vidakovic mendedahkan beliau pernah berdepan situasi ini ketika melatih Melaka United FC pada 2022.
“Saya tiba di Melaka (United) dan mereka tidak mendapat gaji walaupun untuk sebulan. Jadi, ia satu tempoh yang sukar untuk bekerja,” ujarnya.
“Tiada siapa pun memiliki motivasi untuk melakukan apa-apa. Mudah saja, jika anda ada kelab bola sepak dan bermain dalam liga profesional, (bayar gaji pemain). Jika tidak, tutup saja kelab.”
Isu kelab culas membayar gaji pemain bukan perkara baru dalam Liga Malaysia (Liga M). Musim 2024/25 saja menyaksikan beberapa kelab Liga Super berdepan isu tersebut.
Musim 2025/26 pula menyaksikan PDRM FC pula dilaporkan berdepan masalah dalaman. Isu tersebut dilihat menjejaskan prestasi pasukan itu di atas padang sejak kebelakangan ini.