Pengendali KL City FC, Risto Vidakovic berkongsi status terbaru bekas orang besi kebangsaan, Fadhli Shas.
Sebelum ini, bekas bek tengah Sri Pahang FC itu dilaporkan akan menyertai pasukan Lembah Klang itu. Malah, Fadhli turut beraksi dalam beberapa perlawanan pramusim KL City.
Vidakovic kini mendedahkan Fadhli tidak menyertai pasukan itu kerana memilih untuk menggantung but.
“Beliau (Fadhli) memutuskan untuk bersara. Beliau mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan itu tiada isu.
“Satu hari, beliau ada hubungi saya dan beritahu, ‘Coach, saya rasa letih dengan bola sepak. Saya nak habiskan lebih banyak masa dengan keluarga.’
“Saya beritahu beliau itu tidak mengapa, itu hak anda dan saya hormati anda,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Fadhli mengikut jejak beberapa bekas pemain kebangsaan yang menggantung but pada akhir musim 2024/25.
Sebelum ini, Safiq Rahim, Farizal Marlias dan Izham Tarmizi Roslan turut memilih menggantung but selepas meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Nama Fadhli cukup dikenali penyokong Harimau Malaya. Ini kerana beliau menjadi sebahagian daripada skuad negara yang meraih trofi ASEAN Championship 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2011.