CEO Harimau Malaya, Rob Friend memaklumkan pengurusan skuad kebangsaan menghormati keputusan yang dibuat Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Komen itu dibuat beliau selepas jawatankuasa tersebut mengeluarkan dokumen sebab penolakan rayuan FAM dan tujuh pemain negara sebanyak 63 muka surat.
Meskipun begitu, FAM sudah menyatakan komitmen untuk membawa rayuan badan induk itu dan tujuh pemain negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Atas sebab itu, Friend memaklumkan beliau akan terus membantu pasukan perundangan FAM sebagai penasihat.
Ini kerana pada akhirnya, beliau mahukan keadilan buat semua pemain terlibat dan menjaga integriti bola sepak Malaysia.
“Berkenaan sebab keputusan FIFA (menolak rayuan FAM), kita semua menghormati proses dan keputusan yang dikeluarkan.
“Saya akan terus bekerjasama sebagai penasihat kepada pasukan undang-undang tatkala kita menyemak semua dokumen dan langkah seterusnya.
“Keutamaan kita ialah keadilan untuk semua pemain dan melindungi integriti bola sepak Malaysia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam,
Friend turut memaklumkan keterangan beliau yang direkodkan dalam dokumen tersebut ialah salah faham semata-mata.
Ini kerana keterangan beliau merujuk kepada skop tugasnya sebagai CEO Harimau Malaya. Friend juga bangga kerana skuad kebangsaan mengakhiri tahun 2025 tanpa sebarang kekalahan.