Rob Friend: Saya Tak Pernah Nafi Status Sebagai CEO Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend menjelaskan kedudukan sebenarnya dalam organisasi skuad kebangsaan.

Nama Rob Friend jadi bualan para penyokong sejak semalam setelah FIFA memuat naik dokumen sebanyak 63 muka surat yang merakamkan kenyataan beliau ketika disoal oleh badan induk itu.

Di dalam kenyataan yang direkodkan oleh FIFA, beliau akui hanyalah seorang konsultan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membantu projek pemain warisan ini dari Kanada.

Kenyataan tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Harimau Malaya yang melihat tindakan Rob Friend itu seperti cuba untuk menyelamatkan diri ketika isu yang melanda negara kini.

Dalam satu kenyataan terkini kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Rob Friend memberitahu penerangan kepada pihak FIFA tersebut cumalah tertumpu kepada skop penglibatan bersama Harimau Malaya.

Malah, beliau menegaskan masih bergelar CEO buat skuad Harimau Malaya dan tidak pernah menafikan peranan yang disandang bermula pada penghujung Disember tahun lalu itu.

”Saya adalah CEO (Harimau Malaya),” ujar Rob Friend kepada Zulhelmi Zainal Azam.

“Penjelasan saya (kepada FIFA) sebelum ini hanya merujuk kepada skop penglibatan saya, bukannya peranan atau jawatan saya.”

“Untuk memperjelas, saya tidak pernah menafikan bahawa saya ialah CEO (Harimau Malaya),” tambah beliau

Harimau Malaya mengakhiri musim 2025 dengan cemerlang apabila merekodkan 7 kemenangan dan satu keputusan seri dalam 8 perlawanan tahun ini dan berada di tangga teratas kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.