Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend mengulas mengenai pemilihan Singapura dan Palestin untuk menguji kemampuan Malaysia pada September.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan Harimau Malaya akan menganjurkan dua aksi persahabatan antarabangsa sempena jendela FIFA pada bulan September 2025.
Harimau Malaya dijadualkan bertemu negara jiran, Singapura pada 4 September diikuti pula aksi menentang Palestin pada 8 September dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurut Rob Friend, pihak pengurusan pasukan kebangsaan amat teruja dapat mengadakan aksi ujian ini di Kuala Lumpur bagi memberi peluang kepada Ekor Harimau Malaya datang memberi sokongan.
“Kami amat berbesar hati kerana berjaya mengatur dua perlawanan berkualiti,” kata Rob Friend dalam satu kenyataan.
“Ia merupakan peluang luar biasa untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri di Kuala Lumpur.”
Malah, pasukan Singapura dan Palestin turut dilihat sebagai sebuah pasukan yang kompetitif dan mampu memberi satu tentangan yang sengit dari segi percaturan taktikal di atas padang.
“Singapura membawa cabaran serantau yang kompetitif dan penuh sejarah, manakala Palestin pula merupakan lawan taktikal yang berbeza serta merupakan pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia mengikut ranking FIFA.”
“Kedua-dua perlawanan ini akan menjadi medan penting untuk menambah pengalaman serta memperkukuh kualiti pasukan kami,” tambah beliau lagi.
Maklumat lanjut berkaitan waktu sepak mula dan pembelian tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.