Rodrigo Holgado Ditawar Peluang Kedua Di Chile?
MakanBola
America de Cali

Penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado berpeluang mendapat peluang kedua dengan memilih menyertai kelab Chile, Coquimbo Unido.

Portal En Cancha melaporkan pengurusan kelab itu berminat membawa penyerang berusia 31 tahun itu kembali buat kali kedua.

Holgado bukan asing dengan Coquimbo Unido kerana pernah beraksi dengan kelab itu selama setahun pada 2023.

Sepanjang bersama Coquimbo Unido, bekas penyerang Audax Italiano itu meledakkan 19 gol dan empat bantuan gol pada musim tersebut.

Selain itu, ini juga peluang buat Holgado mencari haluan baharu selepas semusim bersama America de Cali. Bukan sekali penyokong kelab itu membidas beliau kerana pulangan gol yang tidak seberapa.

Ini ditambah dengan statistik Holgado hanya menjaringkan 15 gol dan lima bantuan gol dalam 77 perlawanan America de Cali.

Walau bagaimanapun, sebarang peluang untuk merealisasikan perpindahan ke Coquimbo Unido bergantung kepada rayuan beliau kepada FIFA.

Ini kerana Holgado menjadi sebahagian daripada tujuh pemain negara dan FAM yang dihukum FIFA atas kesalahan pemalsuan dokumen. Kini, semua menunggu keputusan rayuan kepada badan induk dunia itu.

Sekiranya rayuan memihak kepada Holgado, ini akan membuka peluang buat beliau kembali mendapatkan sentuhan gol bersama Coquimbo Unido.