Rombakan Besar-Besaran Peter Cklamovski
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski melakukan rombakan besar-besaran menjelang pertemuan berdepan Laos.

Aksi Kumpulan F Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 itu menyaksikan pasukan negara berada di tangga teratas dengan 6 mata selepas dua perlawanan.

Dua aksi menentang Laos yang menduduki tangga ke-176 dunia penting buat skuad negara dalam misi untuk mengekalkan rekod bersih sekali gus menempah tiket ke pentas Piala Asia 2027.

Berdasarkan kemas kini panggilan skuad negara, Cklamovski telah menyenaraikan 29 pemain tanpa kehadiran 7 pemain warisan negara yang dalam proses menyelesaikan status bersama FIFA.

Cklamovski telah mengekalkan seramai 22 pemain dari skuad menentang Singapura dan Palestin pada perlawanan antarabangsa Tier 1 masing-masing pada 4 September dan 8 September 2025.

Namun begitu, terdapat tujuh perubahan yang dilakukan oleh jurulatih kelahiran Australia itu termasuklah memanggil khidmat penyerang naturalisasi baharu negara, Jordan Mintah.

Beliau juga memanggil dua tonggak yang sudah lama tidak mendapat panggilan iaitu Declan Lambert dan juga Ramadhan Saifullah.

Peluang pemain muda juga kembali terbuka pemain muda apabila dua pemain, Aliff Izwan (Selangor) dan juga Ubaidullah Shamsul (Terengganu) turut mendapat panggilan.

Aksi pertama Malaysia adalah menentang Laos di New Laos National Stadium, Vientiane pada 9 Oktober disusuli aksi menentang lawan sama di Bukit Jalil, 14 Oktober 2025.