Sabah Hilang Dua Tonggak Bertemu Selangor
MakanBola
Sabah FC

Sabah FC turun berdepan Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA tanpa dua tonggak akibat kecederaan.

Dua tonggak yang dimaksudkan ialah Gabriel Peres dan Darren Lok. Perkara ini disahkan pengendali Sang Badak, Jean-Paul de Marigny menjelang aksi menentang Merah Kuning.

Pengendali Australia itu mengakui ketiadaan Peres dan Darren sedikit sebanyak merencatkan pelan permainannya menentang Selangor.

Pada masa sama, de Marigny lega kerana semua pemain lain cergas dan bersedia diturunkan menentang Selangor.

“Semua pemain boleh diturunkan kecuali Gabby dan Darren, mereka masih cedera. Semua pemain boleh diturunkan untuk perlawanan ini,” katanya kepada Nadi Bola.

De Marigny turut berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Likas agar dapat meraih kemenangan ke atas Selangor.

“Ianya amat penting, ini sesuatu yang kita usahakan. Kita nak gunakan kelebihan ini untuk cabar setiap pasukan dan kita tak sabar untuk aksi malam esok (hari ini),” ujarnya.

Aksi separuh akhir pertama ini bukan saja peluang Sabah meraih bekalan gol sebelum aksi timbal balik di Stadium MBPJ.

Malah, ini peluang buat anak buah de Marigny membalas dendam terhadap Merah Kuning. Ini kerana anak buah Christophe Gamel itu meraih kemenangan 2-1 di Stadium Likas dalam Liga Super baru-baru ini.