Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali dilaporkan berminat menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seterusnya.
Minat bekas Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu dikongsikan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran.
Safee dilaporkan ingin merebut jawatan Presiden FAM pada tahun 2029. Ini kerana pada ketika itu, penggal Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk 2025-2029 sudah tamat.
Avineshwaran memaklumkan perkara tersebut berubah apabila Datuk Mohd Joehari Ayub meletak jawatan sebagai Presiden FAM.
“Safee Sali berminat dengan jawatan presiden FAM. Bekas penyerang kebangsaan itu pernah menyatakan minatnya dan beberapa bulan lalu, memberi bayangan beliau akan bertanding apabila penggal sedia ada tamat.
“Walau bagaimanapun dengan Datuk Jo (Joehari) meletak jawatan, beliau kini berminat (merebut jawatan tersebut),” katanya di X.
Sehingga artikel ini ditulis, masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Safee berhubung minat beliau merebut jawatan presiden FAM.
Susulan peletakan jawatan Joehari, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi akan menggalas tugas sebagai pemangku presiden sehingga kongres seterusnya pada tahun hadapan.