Safee Sali Mahu Malaysia B-23 Lebih Bijak Hadapi Vietnam
MakanBola
Malaysia NT

Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali berharap Malaysia B-23 tampil lebih bijak bila bertemu Vietnam dalam aksi peringkat kumpulan Sukan SEA 2025.

Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas undian yang diterima anak buah Nafuzi Zain di peringkat kumpulan temasya tersebut.

Safee percaya skuad Malaysia B-23 bukan saja akan berdepan intensiti permainan Vietnam yang tinggi. Malah, beliau percaya akan ada unsur provokasi daripada pihak lawan sepanjang perlawanan.

Atas sebab itu, Safee mahu pemain negara tampil lebih bijak dan sentiasa meletakkan pasukan sebagai keutamaan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Intensiti bertemu dengan pasukan Vietnam, sudah tentu kita selalu tengok sangat intensif. Jadi, permainan (skuad Malaysia B-23) ketika bertemu skuad Vietnam kena lebih bertanggungjawab.

“Dalam setiap tindakan (pemain), (kepentingan) pasukan lebih utama. Mungkin pengalaman lalu dapat mengajar pemain kita.

“Jadi selepas ini, pemain harus mengambil iktibar dan fokus kepada pasukan dan permainan selama 90 minit. Ya, kemenangan harus dicapai tapi kena lebih bijak dari segi tindakan,” katanya kepada Nadi Arena.

Malaysia dan Vietnam berada dalam Kumpulan B bersama Laos. Tiga juara kumpulan dan naib juara terbaik kumpulan akan berentap di peringkat separuh akhir.