Safuwan Baharudin Akui Malaysia Miliki Skuad Terbaik
MakanBola
Malaysia NT

Orang besi Singapura, Safuwan Baharudin mengakui Malaysia memiliki skuad terbaik pada ketika ini.

Pandangan itu dibuat bek tengah berusia 33 tahun itu dengan membandingkan dua keputusan perlawanan sebelumnya membabitkan Malaysia dan Singapura.

Selepas berjaya mengikat Harimau Malaya tanpa jaringan di peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024, The Lions hampa apabila tewas 2-1 kepada tuan rumah.

Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo mencetak nama sebagai penjaring Malaysia. Ilhan Fandi meraih gol saguhati buat Singapura.

Safuwan mengakui berdasarkan prestasi dan kekuatan semasa, kelebihan memihak kepada anak buah Peter Cklamovski itu.

Pada masa sama, ini juga dilihat satu pengajaran buat Singapura untuk berusaha menambah baik kekuatan pasukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ya, kali terakhir kita lawan (Malaysia), kita seri tanpa jaringan. Saya fikir kali ini, ini skuad terkuat yang mereka ada.

“Jadi, walau apa pun, kita tak sepatutnya fikir tentang mereka. Pada akhirnya, ini cuma aksi persahabatan.

“Kita perlu dapatkan analisis yang terbaik (sebagai rujukan) untuk aksi berikutnya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Safuwan dan Singapura kini mengalihkan fokus kepada aksi persahabatan tertutup menentang Myanmar pada 9 September.