Kapten pasukan Singapura, Safuwan Baharudin mengakui Malaysia sentiasa menjadi pasukan lawan yang istimewa buat negara itu menjelang aksi persahabatan Khamis ini.
Harimau Malaya bakal menguji Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil setelah kali terakhir bertemu untuk perlawanan persahabatan pada 26 Mac 2022 lalu yang berkesudahan Singapura menang 2-1 ke atas Malaysia.
Safuwan yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia berpandangan kedua-dua pasukan akan turun dengan matlamat yang sama iaitu mencari formula terbaik bagi aksi kelayakan Piala Asia pada bulan November kelak.
“Perlawanan ini adalah sebagai persediaan pada aksi November kelak bagi kedua-dua pasukan untuk mencari solusi yang terbaik.”
Pemain pertahanan itu turut mengakui Malaysia adalah lawan yang istimewa dan mampu memberikan sesuatu terutama kepada pemain muda Singapura kelak.
“Malaysia dan Singapura sebelum ini biasanya bertemu dalam pertandingan tetapi sudah lama tidak bertemu untuk perlawanan persahabatan.
“Pemain muda pastinya akan suka dengan derbi ini sebagaimana saya sukakan perlawanan ini. Sebelum ini sewaktu saya mewakili Singapura, kami kerap bertemu Malaysia.
“Ini gabungan yang bagus untuk pemain muda dan pemain utama negara. Derbi sebegini akan terngiang-ngiang dalam fikiran kamu sebagai pemain.
“Perlawanan ini bukan sekadar berakhir pada esok tetapi akan buatkan kamu berkata-kata pada masa akan datang bersama rakan-rakan dan juga ahli keluarga kamu.” ujar Safuwan dalam sidang media pra perlawanan.
Perlawanan Malaysia menentang Singapura turut dikenali sebagai Derbi Seberang Tambak berdasarkan lokasi kedua-dua negara yang terletak bersebelahan antara satu sama lain dan hanya terpisahkan dengan laut.
Kali terakhir Malaysia bertemu Singapura untuk aksi persabahatan adalah pada tahun 2022 yang lalu manakala dalam pertandingan adalah pada Disember tahun lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 0-0 dalam kejohanan AFF Suzuki.