Salah Faham Tak Jejas Tugas Rob Friend Bersama Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

CEO Harimau Malaya, Rob Friend menyifatkan salah faham yang berlaku berhubung keterangannya kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA tidak menjejaskan tugasnya bersama pasukan itu.

Sebelum ini, status sebenar beliau bersama skuad kebangsaan menimbulkan tanda tanya kepada penyokong negara.

Ini kerana bekas pemain Kanada itu memaklumkan beliau hanya perunding kepada FAM dan membantu projek revolusi Harimau Malaya.

Keterangan tersebut direkodkan dalam dokumen sebab Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan negara baru-baru ini.

Susulan itu, Friend menegaskan beliau masih lagi CEO Harimau Malaya dan apa yang berlaku itu hanya salah faham. Keterangan yang diberi beliau kepada jawatankuasa tersebut hanya merujuk kepada skop tugasnya.

“Saya CEO (Harimau Malaya). Penjelasan saya hanya berkenaan skop penglibatan saya, bukan peranan atau gelaran jawatan.

“Saya ingin nyatakan secara jelas saya tidak pernah nafikan menjadi CEO (skuad kebangsaan),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Friend turut melihat isu salah faham itu tidak menjejaskan fokusnya membantu Harimau Malaya untuk lebih berjaya di peringkat antarabangsa.

Malah, beliau turut gembira dengan pencapaian skuad negara kerana menamatkan tahun 2025 tanpa sebarang kekalahan.

“Salah faham ini tidak menjejaskan tugas saya bersama pasukan kebangsaan. Semua orang faham dengan tanggungjawab dan hala tuju ke mana kita bergerak.

“Kita menamatkan tahun yang hebat ini tanpa tewas, staf dan pemain menunjukkan pendekatan kelas pertama.

“Kita harap prestasi di atas padang dapat menaikkan lagi tahap bola sepak di Malaysia dalam masa mencabar ini,” ujarnya.

Kini, fokus Harimau Malaya beralih ke tahun 2026 dengan aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Mac tahun hadapan.