Salem Al Dawsari Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025
MakanBola
Al-Hilal FC

Kapten Arab Saudi dan bintang Al-Hilal, Salem Al Dawsari dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025.

Anugerah penuh bersejarah ini diumumkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu majlis yang penuh meriah di King Fahad Cultural Center, Riyadh, Arab Saudi pada awal pagi Jumaat.

Nama Salem Al Dawsari tercalon bersama-sama penyerang terkemuka Qatar, Akram Afif dan bintang harapan Malaysia, Arif Aiman Hanapi dalam kategori Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025 ini.

Sebaik nama beliau diumumkan, Salem Al Dawsari yang hadir mengenakan jubah putih memeluk erat Arif Aiman di sebelah sebelum naik pentas untuk menerima anugerah yang pernah dimenangi pada tahun 2022.

Untuk rekod, Salem Al Dawsari menjaringkan 27 gol dalam 51 penampilan untuk Al-Hilal pada musim lalu termasuk juga 10 jaringan yang dicatatkan untuk bergelar penjaring terbanyak AFC Champions League Elite (ACLE) 2024-2025.

Prestasi cemerlang Salem Al Dawsari ini bukan sahaja ketika bersama Al Hilal sahaja, malah bintang berusia 34 tahun ini turut mempamerkan aksi cukup memukau bersama pasukan kebangsaan Arab Saudi.

24 jaringan yang direkodkan buat Arab Saudi dalam 97 kaps sudah cukup untuk memberi gambaran watak dibawa Salem Al Dawsari selain baru sahaja membawa negara beliau layak ke Piala Dunia 2026 baru-baru ini.