Jeneral tengah Newcastle United, Sandro Tonali mengakui masih mengingati sahabat lama yang juga tonggak import Johor Darul Ta’zim (JDT), Samu Castillejo.
Hal ini diakui pemain tengah Itali berusia 25 tahun itu apabila ditanya tentang persahabatan beliau dengan pemain Sepanyol berusia 30 tahun itu.
Tonali mengakui pernah berhubung dengan Castillejo kira-kira empat atau lima bulan lalu. Beliau juga tahu bekas pemain AC Milan itu mewakili JDT dalam saingan Liga Super.
“Saya ada bercakap dengan Samu Castillejo kira-kira empat atau lima bulan lalu. Dan saya tahu beliau bermain di Malaysia dan beliau gembira di Malaysia bersama keluarganya.
“Beliau bermain bola sepak yang bagus dan saya fikir kita ada bermain bersama di AC Milan. Beliau seorang pemain yang baik, peramah dan ceria setiap hari,” katanya kepada koresponden Stadium Astro, Keeshaanan Sundaresan.
Tonali turut mengagumi semangat berpasukan yang dimiliki Castillejo semasa berada di San Siro.
Meskipun beliau jarang beraksi pada ketika itu, pemain Sepanyol itu sentiasa gembira melihat AC Milan menunjukkan prestasi baik di atas baik.
“Ini perkara sukar dalam bola sepak dan saya sayangkan beliau terutama dalam detik sukar, beliau tetap gembira untuk pasukan.
“Kerana semasa saya berada di Milan bersama beliau, beliau hanya bermain beberapa perlawanan. Tapi dalam setiap perlawanan, beliau sentiasa gembira untuk rakan sepasukannya.
“Saya fikir ini sesuatu yang magis (dimiliki) seorang pemain. Jika anda lihatnya dalam pasukan, ia sesuatu yang mengagumkan,” ujarnya.
Tonali dan Castillejo beraksi bersama selama empat musim sebelum beliau berhijrah ke Valencia pada Julai 2022.
Pemain Sepanyol itu merekodkan lima penampilan bersama JDT musim ini termasuk satu penampilan Piala Sumbangsih.