Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick Dos Santos menjawab status beliau bersama pasukan bagi musim baharu.
Pemain berusia 29 tahun itu kini dipinjamkan ke pasukan Ho Chi Minh City FC di Vietnam namun kembali membantu pasukan kebangsaan.
Malaysia memiliki pertemuan penting apabila bakal menerima kunjungan jaguh Asia Tenggara, Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun ini.
Endrick merasai sokongan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan dan pemain di kelabnya sungguhpun bakal bertemu pasukan kebangsaan Bintang Pahlawan Emas.
“Jurulatih saya mahu melihat saya menang (menentang Vietnam) jadi saya katakan okay. Kami memiliki hubungan yang baik antara jurulatih dan juga pemain di sana.
“Saya tahu mereka semua juga menyokong saya,” jelasnya ketika ditemui oleh media hari ini.
Tonggak naturalisasi negara ini bagaimanapun mahu memberikan fokus kepada aksi musim ini sebelum memikirkan baki kontraknya bersama JDT.
“Liga Vietnam masih lagi berjalan dan berbaki dua perlawanan. Selepas itu, saya akan membuat keputusan mengenai hala tuju saya.
“Saya masih mempunyai baki kontrak dengan JDT,” jelasnya.
Endrick memainkan watak penting ketika membantu Harimau Malaya menndukkan pasukan ke-175 dunia, Nepal dengan keputusan 2-0 pada Mac lalu.