Pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi memberi bayangan bahawa kecederaan yang dialaminya tidak terlalu serius.
Sebelum ini, ramai penyokong Harimau Malaya merasa bimbang melihat keadaan pemain berusia 23 tahun itu.
Ini kerana Arif Aiman hanya sempat beraksi selama 10 minit ketika menentang Nepal sebelum dikeluarkan akibat kecederaan.
Susulan itu, jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memasukkan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim sebagai pengganti beliau.
Apabila ditanya tentang kecederaan Arif, Cklamovski memaklumkan beliau belum mendapat sebarang maklumat berhubung kecederaan itu.
Jurulatih Australia itu turut memaklumkan ayam tambatan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan menjalani imbasan pada hari ini bagi mengetahui status kecederaannya.
“Malangnya, saya tiada boleh (beri maklumat terbaru). Saya baru kembali dari padang. Maklumat perubatan terbaru, saya kena rujuk kembali dengan kumpulan (staf perubatan).
“Beliau (Arif) akan menjalani imbasan esok (hari ini). Saya pasti kita akan dapat maklumat (kecederaan) berdasarkan imbasan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Kini, Arif memberi bayangan bahawa kecederaan yang dialaminya tidaklah serius seperti disangka. Justeru, beliau berharap dapat kembali beraksi tidak lama lagi.
“(Saya) akan kembali tidak lama lagi,” katanya di Threads. Sebaik status itu dimuat naik di platform berkenaan, ramai penyokong Harimau Malaya mendoakan Arif cepat sembuh.
Isu kecederaan Arif dijangka memaksa pengendali JDT, Xisco Munoz mengubah perancangan taktikal bagi menghadapi beberapa perlawanan selepas ini.
JDT akan menentang Melaka FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 21 November. Ini disusuli aksi ACLE menentang kelab Australia, Melbourne City pada 25 November.