Pemain beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie mengakui merasa gembira kerana dapat meraih gelaran juara dunia bersama regunya, Toh Ee Wei.
Tang Jie dan Ee Wei mengikut jejak rakan senegara yang juga bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Beregu campuran nombor empat dunia itu dinobatkan juara dunia selepas mengalahkan beregu China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin.
Ini bukan saja kejayaan pertama Tang Jie-Ee Wei untuk tahun 2025. Malah, ini turut membantu mereka menebus kekecewaan tersingkir di peringkat suku akhir Sukan Olimpik 2024.
Tang Jie menyifatkan kejayaan bergelar juara dunia sebagai satu pencapaian bermakna bagi mana-mana atlet.
“Saya gembira orang panggil kami juara dunia. Ia (satu pencapaian) bermakna buat setiap pemain,” katanya kepada CGTN Sports.
Pandangan beliau turut dipersetujui Ee Wei. Anak jati Melaka itu menyifatkan kejayaan ini cukup bermakna kerana ia diraih pada Hari Kebangsaan.
“Ianya sangat bermakna kepada kita kerana ia jatuh pada (tarikh) Hari Kebangsaan. Kita juga ada ramai penyokong Malaysia dalam stadium yang memberi sokongan kepada kita.
“Kita dapat rasakan aura (penyokong Malaysia) bila beraksi di gelanggang. Kita berjuang dan cuba mendapatkan setiap mata,” katanya.
Selain Tang Jie-Ee Wei, beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah turut mengibarkan cabaran Malaysia dalam final acara tersebut.
Walau bagaimanapun, usaha beregu nombor dua dunia itu tidak berhasil apabila tewas kepada beregu China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.
Meskipun tewas, Pearly-Thinaah tetap mencipta sejarah sebagai pemenang pingat pertama BWF World Championships dari Malaysia untuk acara beregu wanita.