Saya Hanya Konsultan Di FAM, Kata Rob Friend Kepada FIFA
MakanBola
Malaysia NT

Status sebenar jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend mencetuskan persoalan.

Ini berdasarkan kenyataan beliau kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA berhubung kedudukannya dalam FAM.

Meskipun memegang jawatan sebagai CEO Harimau Malaya, Friend memaklumkan beliau hanyalah perunding kepada FAM dan membantu projek revolusi skuad kebangsaan.

Peranan Friend ialah membantu menambah baik aspek membabitkan staf kejurulatihan dan teknikal. Bekas pemain Kanada itu turut memaklumkan semua proses naturalisasi pemain diuruskan sepenuhnya oleh FAM.

Friend turut menyatakan beliau tidak tahu-menahu tentang salah laku yang berlaku dan tidak terlibat dalam sebarang proses sehingga 22 Ogos lalu.

Pada tarikh tersebut, bekas presiden Vancouver FC itu ditugaskan untuk membantu prosiding kes membabitkan hukuman FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain negara.

Pendedahan ini timbul tatkala Sekretariat FIFA diarah melaksanakan siasatan terhadap operasi dalaman FAM.

Siasatan tersebut bertujuan bukan saja mencari siapa individu bertanggungjawab untuk isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain negara.

Malah, Sekretariat FIFA diarah menilai sejauh keberkesanan operasi dalaman badan induk itu termasuk keberkesanan mekanisme tadbir urus FAM.