Kelibat pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh kembali meniti di bibir peminat bola sepak Malaysia.
Tonggak berusia 31 tahun itu beraksi buat skuad Harimau Selatan dan membantu pasukan untuk melakar kemenangan besar 7-1 ke atas Melaka FC pada aksi ke-10 Liga Super 2025-26.
Pasukan kendalian Xisco Munoz ketika ini gah mengemudi tangga teratas saingan liga dengan rekod 100 peratus kemenangan dan 10 mata mengatasi pasukan tangga kedua, Kuching City FC.
Kelibat tonggak naturalisasi negara, Sumareh kembali menghangatkan JDT yang masuk menggantikan Oscar Arribas pada minit ke-60.
Perkara ini dinyatakan oleh penganalisis bebas sukan, Zaquan Adha yang teruja untuk melihat Sumareh kembali beraksi.
“Saya amat merindui Sumareh. Sudah lama kita tidak melihat aksinya.
“Namun begitu, sekiranya beliau diberi peluang untuk beraksi, Sumareh perlu menyamai intensiti para pemain lain,” ujar Zaquan kepada Astro Arena.
Menurut Norshahrul Idlan Talaha pula, pemain-pemain JDT yang diberi peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama harus memberikan aksi terbaik untuk merebut tempat.
Pada musim ini, Sumareh baru beraksi sebanyak dua kali dengan kedua-duanya selaku pemain gantian.
JDT kini terbang ke Australia bagi aksi AFC Champions League Elite (ACLE) menentang Melbourne City pada 25 November 2025.