Tiada sebarang jawapan kukuh sama ada Nepal FA membuat laporan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkaitan tindakan Malaysia menurunkan Hector Hevel ketika aksi Mac lalu.
Sebelum ini, laporan dari VNExpress memberitahu bahawa badan induk bola sepak Nepal yang dikenali sebagai ANFA telah memfailkan bantahan terhadap kemenangan Malaysia tempoh hari.
Ini selepas pihak mereka mengambil kira tindakan Malaysia menurunkan Hector Hevel, pemain warisan yang ketika ini digantung gara-gara dakwaan pemalsuan dokumen untuk mewakili Harimau Malaya.
Malah, Hevel yang juga pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mencipta nama selaku penjaring ketika aksi tersebut bagi membantu kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Nepal.
Ketika disoal tentang perkara ini, Hari Khadka selaku jurulatih interim Nepal tidak mengetahui sebarang tindakan yang akan dilakukan oleh barisan kepimpinan badan induk bola sepak negaranya itu.
“Saya rasa tidak,” ujarnya secara ringkas ketika sidang media pra perlawanan Nepal vs Malaysia pada Isnin lalu.
“Saya tak tahu sama ada FA Nepal laporkan perkara itu (Hector Hevel beraksi pada Mac lalu) ke AFC atau tidak,” tambah beliau.
Fokus beliau ketika itu hanyalah tertumpu kepada aksi antara Nepal vs Malaysia semalam tanpa mengambil kira kehadiran 7 pemain warisan Harimau Malaya yang ketika ini digantung.
“Tapi seperti yang kapten kami (Kiran Kumar Limbu) katakan, saya tidak mahu memberi apa-apa komen tentang 7 tonggak warisan itu. Saya hanya fokus kepada pasukan semasa.”
Perlawanan Nepal vs Malaysia yang berlangsung pada Selasa bagaimanapun berakhir dengan kemenangan 1-0 buat skuad Harimau Malaya hasil jaringan tunggal daripada Faisal Halim di minit ke-56.