Sekretariat FIFA Diarah Siasat FAM
MakanBola
FA Malaysia

Sekretariat FIFA diarah menyiasat operasi dalaman FAM.

Ini antara saranan Jawatankuasa Rayuan FIFA berhubung rayuan yang dikemukakan badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara.

Saranan tersebut dibuat selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mendapati FAM masih gagal menamakan individu yang terlibat dalam isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain tersebut.

Lantaran itu, Sekretariat FIFA diarah menyiasat operasi dalaman FAM. Langkah ini bertujuan bukan saja mencari individu yang bertanggungjawab terhadap isu pemalsuan dokumen pemain terbabit.

Malah, ini bertujuan menyemak sejauh mana keberkesanan mekanisme tadbir urus dan pematuhan operasi dalaman FAM.

Selain itu, siasatan tersebut juga bertujuan menentukan sama ada tindakan disiplin tambahan perlu diambil oleh FIFA terhadap pegawai-pegawai FAM.

Ini menjadikan Sekretariat FIFA sebagai badan terbaru melancarkan siasatan berhubung isu membabitkan tujuh pemain negara.

Sebelum ini, FAM menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif.

Jawatankuasa ini ditubuhkan dengan tujuan bukan saja menyiasat punca isu yang mengakibatkan badan induk itu dihukum FIFA. Malah, ini bertujuan memperkasakan lagi aspek tadbir urus dan pentadbiran FAM.

Selain IIC, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga melancarkan siasatan berhubung isu tujuh pemain negara.