Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Matt Davies bakal kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Skuad Harimau Malaya akan menempuh aksi ke-5 Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada pertengahan November dengan misi meneruskan rentak positif 4 perlawanan tanpa tewas sebelum ini.
Seramai 27 orang pemain telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski untuk ke kem latihan bermula 10 November hadapan sebagai persiapan pasukan berdepan Nepal nanti.
Daripada 27 pemain yang dipanggil tersebut, nama Matt Davies menjadi perhatian ramai peminat apabila kembali mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan selepas 5 bulan disisihkan.
Kali terakhir Matt Davies beraksi bersama Harimau Malaya adalah ketika bertemu Vietnam dalam aksi ke-3 Kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil yang mana beliau turun selaku ketua pasukan.
Sejak itu, pertahanan berusia 30 tahun ini terpaksa disisihkan akibat kecederaan dan kini Matt sudah kembali beraksi untuk JDT dalam aksi Liga Super serta perlawanan suku akhir Piala FA lalu.
Kehadiran Matt Davies di dalam pasukan kebangsaan akan memberi suatu tonik tambahan yang positif untuk pasukan berbekalkan pengalaman yang dimiliki oleh pertahanan JDT ini.
Kesemua 27 pemain Malaysia termasuk Matt Davies bakal berkumpul untuk kem latihan pusat pada 10 November ini sebelum turun beraksi dalam perlawanan penting bertemu Nepal 8 hari kemudian.