Selangor Akhiri ACL2 Dengan Tewas Kepada Lion City Sailors
MakanBola
LION CITY SAILORS FC

Selangor tumpas 0-1 kepada pasukan pelawat, Lion City Sailors dalam aksi terakhir peringkat kumpulan ACL 2 musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.

The Red Giants membariskan Kalamullah Al Hafiz di benteng terakhir dan Faisal Halim menggalas lilitan kapten manakala Chrigor Moraes mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, Lion City Sailors menurunkan Ivan Susak dan Anderson Lopes menjadi ayam tambatan pasukan tersebut.

Selangor dilihat bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi gerakan lincah Faisal Halim dan Chrigor Moraes.

Anderson Lopes melepaskan percubaan di minit awal permainan namun gagal menerjah gawang Selangor.

Chrigor Moraes turut melakukan satu rembatan kencang namun percubaan beliau berjaya ditepis oleh penjaga gol Lion City Sailors, Ivan Susak.

Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Noor Al-Rawabdeh gagal memanfaatkan peluang keemasan beliau ketika berada di hampir kawasan kotak penalti lawan pada minit ke-43 untuk melepaskan satu percubaan berbahaya.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, Lion City Sailors tampak meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol pembukaan.

Lion City Sailors berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-49 hasil gerakan dari sepakan penjuru dan berjaya diledak oleh Tsiy-William sekaligus memberikan kelegaan kepada kem pasukan Sailors.

Sailors terus menerus mengasak kubu pasukan Selangor menerusi Maxime dan Ramselaar bagi menambah gol wakil Singapura tersebut.

Faisal Halim turut melakukan serangan balas bagi mencari gol penyamaan namun ketangkasan barisan pertahanan lawan menjadi penghalang.

Memasuki minit ke-75 kedudukan didahului oleh pasukan pelawat, Lion City Sailors dengan satu gol.

Selangor terus mencuba dalam 15 minit terakhir aksi dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya ke arah gawang pasukan Sailors.

Lion City Sailors berjaya menahan segala asakan pasukan tuan rumah, Selangor pada minit minit akhir babak kedua.

Aksi tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Lion City Sailors.