Selangor Bakal Kemuka Rayuan Kepada FAM
MakanBola
Selangor FC

Pengurusan Selangor FC bakal mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung denda RM100,000 dan beraksi tanpa penonton sebanyak dua perlawanan.

Hal ini dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Merah Kuning, Datuk Seri Shahril Mokhtar apabila diminta mengulas hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman denda RM100,000 dan beraksi tanpa penonton sebanyak dua perlawanan dalam Piala FA.

Hukuman tersebut dijatuhkan susulan beberapa insiden membabitkan penyokong dalam aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC pada akhir Oktober lalu.

Aksi tersebut menyaksikan penyokong bukan saja membaling botol dan mercun ke luar padang. Malah, penyokong Selangor dikesan bergaduh dengan penyokong Sang Rusa.

Susulan itu, Shahril memaklumkan bahawa kelab itu akan mengemukakan rayuan. “Selangor akan buat rayuan,” katanya seperti yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Seandainya rayuan Merah Kuning tidak berhasil, pasukan itu akan menentang Sabah FC untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA tanpa penonton pada 30 November ini.

Satu lagi aksi tanpa penonton membabitkan Selangor akan berkuatkuasa untuk aksi laman sendiri pertama pasukan itu dalam Piala FA musim hadapan.