Pasukan futsal Selangor FC dilihat telah menemui permata baharu menerusi penjaring terbanyak Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan 2025, Afiq Afiqzam Mohd Nasir.
Afiq yang juga kapten skuad Merah Kuning B-19 menunjukkan bisannya apabila menjaringkan sembilan gol.
Ini berdasarkan rekod gol yang dikemas kini selepas aksi separuh akhir Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan yang berlangsung pada 22 Oktober lalu.
Afiq diekori rapat Adam Azrul Zubir yang mewakili Terengganu dan Putera Adam Fahrin Shah Abdullah (Kelantan FT). Adam Azrul dan Putera Adam masing-masing menjaringkan lapan dan enam gol.
Afiq dan Putera Adam berpeluang menambah rekod jaringan masing-masing. Ini kerana Selangor B-19 dan Kelantan FT bakal berentap di final bagi menentukan juara sulung Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan 2025.
Kemunculan Afiq juga dilihat berita baik buat pengendali skuad futsal Selangor, Edgar Baldasso. Ini kerana kehadirannya dijangka menambah pilihan untuk barisan pemain bagi menghadapi musim 2026.