Selangor berjaya menumpaskan pasukan Negeri Sembilan dengan keputusan secara agregat 6-3 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.
The Red Giants menurunkan Kalamullah Al Hafiz di benteng terakhir dan Harith Haiqal mengetuai kesebelasan utama manakala Willian Lira mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, pasukan The Jangs membariskan Azri Ghani di bahagian penjaga gol dan Jovan Motika sebagai ayam tambatan pasukan tersebut.
Selangor tampak melancarkan beberapa serangan berbahaya pada awal minit perlawanan namun gagal menembusi gawang pasukan Negeri Sembilan.
The Jangs berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 12′ menerusi Harith Samsuri hasil umpanan dari sepakan penjuru.
Negeri Sembilan sekali lagi meledak gol kedua aksi pada minit ke 27′ menerusi pemain bernombor 19, Javabilaarivin sekaligus mendekatkan defisit agregat.
Selangor tampak tertekan dengan 2 jaringan awal pasukan Negeri Sembilan meskipun masih mempunyai kelebihan dua gol.
The Red Giants berjaya menambah gol agregat pada minit ke 42′ hasil jaringan cantik Willian Lira sekaligus kembali mempunyai kelebihan 3 gol.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-2 memihak kepada pasukan pelawat, Negeri Sembilan.
Bersambung babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan telah meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol tambahan masing-masing.
Kemasukan Faisal Halim pada babak kedua memberikan impak positif buat Selangor apabila beberapa kali beliau berjaya mengucar kacirkan pemain-pemain pihak lawan di kawasan kotak penalti Negeri Sembilan.
Memasuki minit ke 75′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, The Red Giants dengan 3 gol.
Mio Tsuneyasu berjaya meledak gol ke-3 Negeri Sembilan pada minit ke 80′ bagi menyalakan peluang layak ke peringkat separuh akhir.
Faisal Halim melengkapkan malam gemilang pasukan Selangor pada minit ke 86′ apabila merobek gawang pasukan Negeri Sembilan sekaligus mematikan langkah pasukan pelawat.
Perlawanan tamat dengan keputusan secara agregat 6-3 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor sekaligus melayakkan diri ke pentas separuh akhir Piala FA musim ini.
Selangor bakal menentang pasukan Sabah dalam aksi separuh akhir Piala FA musim ini selepas The Rhinos menewaskan Kelantan TRW di peringkat suku akhir dengan keputusan 5-2 secara agregat.