Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup kempen Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dengan rekod kemenangan 100% tidak berhasil.
Ini selepas Selangor FC mencipta kejutan dengan menewaskan juara Divisyen 1 musim 2025 itu 8-5 di Stadium Tertutup Pasir Gudang.
Kedua-dua pasukan memburu misi menutup Divisyen 1 dengan kemenangan. JDT melihat ini juga peluang untuk mengekalkan rekod kemenangan 100% sepanjang musim.
Walau bagaimanapun, misi anak buah Juan Antonio Miguel Garcia itu mula goyah apabila Evandro Borges meletakkan Selangor di hadapan.
Borges menggandakan kelebihan Merah Kuning menerusi satu rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq.
Usaha JDT menggunakan power play untuk memburu gol dihukum Selangor. Kali ini, giliran penjaring terbanyak mereka, Vitor Fernandes mencetak nama sebagai penjaring.
Bruno Taffy dan Awalluddin Mat Nawi membantu JDT merapatkan defisit gol kepada satu gol. Keputusan 3-2 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, JDT mula mengasak untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Firdaus Ambiah menjadikan kedua-dua pasukan terikat 3-3.
Fernandes kembali meletakkan Selangor di hadapan menerusi rembatan lencong yang menewaskan Azrul Hadee. Ini gol ke-29 beliau dalam saingan Divisyen 1 MPFL.
Aksi kedua-dua pasukan menjadi panas apabila Abu Haniffa Hasan dikesan mengasari Borges. Ini mencetuskan pertelagahan antara kedua-dua pasukan.
Tindakan penjaga gol Selangor, Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln keluar dari gawangnya dihukum Awalluddin. Pemain futsal kebangsaan itu pantas menanduk bola ke gawang yang kosong.
Firdaus kemudiannya menjadikan kedudukan 5-4 buat JDT. Keceriaan kem JDT tidak bertahan lama apabila Syahir Iqbal Khan Akbar Khan menyamakan kedudukan buat Selangor.
Selangor menyumbat tiga gol lagi menerusi Borges dan Syahir bagi menjadikan kedudukan 8-5. Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Meskipun menang, Selangor terpaksa berpuas hati dengan status selaku naib juara Divisyen 1 musim 2025. JDT pula tetap berpesta meraikan gelaran juara buat kali kedua berturut-turut.