Kelab gergasi Lembah Klang, Selangor FC membuatkan ramai penyokong tersentuh dengan meraikan dua pemain cilik, Ng Ho Wie dan Ng Ho Race pada 23 Jun lalu.
Nama Ho Wie dan Ho Race tular di media sosial disebabkan kesungguhan bapa mereka, Ng Chee Kean mendedahkan mereka kepada sukan bola sepak.
Minat itu ditanam dalam diri Ho Wie, 9, dan Ho Race, 8, sebagai alternatif menghabiskan masa lapang terutama selepas Malaysia mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Meskipun tidak memiliki latar belakang sukan, Chee Kean berusaha memastikan anak-anaknya mendapat pendedahan yang terbaik. Ini termasuk mendaftarkan mereka untuk menyertai Sekolah Bola Sepak Selangor FC.
Bagi meraikan Ho Wie dan Ho Race, pengurusan Selangor menjemput mereka datang ke Stadium MBPJ untuk beramah mesra dengan barisan pemain dan staf kejurulatihan Selangor.
Ho Wie bertuah kerana ini secara tidak langsung merealisasikan impian bertemu pemain pujaannya, Sharul Nazeem Zulpakar.
Selain beramah mesra dengan barisan pemain dan staf kejurulatihan, Ho Wie dan Ho Race turut berpeluang menonton aksi terbaru Liga Super antara Selangor dan Perak FC.
Pengurusan Selangor berharap menerusi usaha ini, ini akan menyemarakkan lagi minat dua pemain cilik itu terhadap dunia bola sepak.
“Selangor FC berbesar hati menyantuni dua beradik Ng Ho Wie dan Ng Ho Race yang tular di media sosial baru-baru ini kerana aktif bermain bola sepak untuk menikmati pengalaman istimewa bersama Gergasi Merah di Stadium MBPJ, sebentar tadi.
“Semoga pengalaman sekali seumur ini dapat menggembirakan kedua-dua beradik ini serta dapat memberikan lebih dorongan buat mereka untuk terus bermain bola pada masa akan datang!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selangor kekal ampuh di Stadium MBPJ dengan menundukkan Perak 2-1. Keputusan itu menyaksikan Merah Kuning menghuni tangga kedua liga, tiga mata dipisahkan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).